TEKS PENUH PERUTUSAN KHAS COVID-19 OLEH PERDANA MENTERI TAN SRI DATO MUHYIDDIN YASIN

00:04


TEKS PENUH PERUTUSAN KHAS COVID-19 

Tarikh 16 Mac 2020, 10 malam.

covid-19 malaysia
Perutusan Khas COVID-19

Assalamualaikum wa rahmatulahi wa barakatuh dan salam sejahtera saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Malam ini sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak COVID-19 yang telah pun menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Sehingga kini wabak COVID-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah pun disahkan positif COVID-19 ini di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia telah berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baru pada hari ini. Menjadikan jumlah keseluruhan individu yag dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang pun dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih. Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini tertutamanya perkembangan gelombang yang kedua. Keutamaan kerajaan kita pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baru wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Dan untuk itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 mac 2020 di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah kawalan pergerakan ini meliputi,

Pertamanya ialah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuklah aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan juga budaya. Dan untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuklah solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah pun bersidang pada 15 Mac 2020.

Keduanya ialah sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang daripada luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau dalam bahasa inggeris nya self-quarantine selama 14 hari. 

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Keempat adalah penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuklah sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

Kelima ialah penutupan semua institusi pendidikan tinggi, IPT awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Dan keenam penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara ataupun essential services iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Saya sedar bahawa saudara dan saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan, kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara kita ini.


Kita telah melihat peningkatan wabak COVID-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam satu masa yang begitu singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara dan saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita. Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar yang segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara menghadkan pergerakan orang ramai. Dan inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat di negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.

Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik. Juga jangan rasa cemas dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat. 

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan COVID-19 ini. Saya juga ingin memberikan jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan juga penjagaan kesihatan termasuklah topeng muka adalah mencukupi. Saya telah pun mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran di sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini berkuat kuasa. Saya merayu kepada saudara dan saudari, agar sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa sidang khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19 ini. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan juga memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak COVID-19 dari semasa ke semasa.

Jika saudara dan saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung dengan perintah kawalan pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline nombornya 03-8888 2010. 03-8888 2010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini. Saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian akan terus cekal dan tabah dalam menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.

Akhir sekali saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah SWT. Wabillahi taufiq wal hidayah, assalamualaikum warahmatullah wa barakatuh.                           


Sertai telegram Majlis Keselamatan Negara: https://t.me/MKNRasmi


Hubungi no. telefon Pusat Pengurusan Operasi Negara: 03-8888 2010 (untuk pertanyaan berkenaan perintah kawalan pergerakan) 


You Might Also Like

0 comments

Followers

Total Pageviews

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.